OBJEKTIF
Menaik taraf ikan laga hiasan di peringkat kebangsaan
Ikan laga hiasan jenis betta ini termasuk didalam ikan laga hiasan kategori moden, telah lama bertapak di sekitar Malaysia dan negara berdekatan seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Akan tetapi, ikan laga hiasan betta ini tidak mendapat standard yang sepatutnya diterima kerana ikan hiasan jenis ini tidak diketengahkan potensi dan kebolehan ikan ini menjana pendapatan negara. Oleh yang demikian, persatuan akan memacu kebolehan ikan laga hiasan ini setaraf dengan standard ikan hiasan yang lain.
Menaik taraf status penternak ikan laga hiasan
Seperti yang kita ketahui sebelum ini, penternak ikan laga hiasan tidak dapat menanding penternak ikan kosumsi/makanan, dan ikan hiasan jenis lain dari segi pendapatan. Tetapi sejak kebelakangan ini, ramai penternak ikan laga hiasan jenis betta ini telah pun mencapai pendapatan 4 angka. Tidak lupa juga ramai penternak yang dahulunya cuma penghobi telah beralih profession sepenuh masa didalam penternakan ikan laga hiasan betta ini, terutamanya generasi muda. Oleh sebab itu, kami selaku penghobi dan penternak ikan laga hiasan betta yang telah lama berkecimpung di dalam arena ini, akan membimbing, memberi bantuan dan sokongan kepada generasi muda yang mengambil kerjaya ini sebagai sepenuh masa.
Memberi pendedahan ikan laga hiasan kepada masyarakat
Untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat akan kecantikan dan kemudahan pembelaan ikan laga hiasan jenis betta ini, pihak kami sebelum ini ada membuat pameran dan pertandingan kecantikan ikan disekitar expo dan tumpuan orang ramai. Dengan cara ini, boleh menarik minat dan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai ikan ini di negara kita. Dengan tidak langsung, pihak kami boleh membimbing dan memberi panduan kepada masyarakat yang ingin mendapatkan pendapatan sampingan di dalam industri ikan laga hiasan jenis ini. Jumlah pendapatan bergantung kepada kuantiti ternak ikan ini dan jumlah purata pendapatan penghobi dalam bidang ini adalah di dalam sekitar RM500 ke RM1000 setiap bulan.





